Bakar Trak Polis: Ketua Polis Baling diminta buktikan tuduhan

Oleh Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH, 19 Februari (Hrkh) -Dewan Pemuda PAS Pusat meminta Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Hasan Ismail mengemukakan bukti kukuh yang mengatakan ahli atau penyokong PAS membakar trak dan membaling cuka getah semasa ceramah di Kubang Bok, Kuala Ketil, Kedah pada 10 Februari lepas.

Ketua Dewan Pemudanya, Haji Mahfuz Haji Omar berkata demikian kerana tidak tahan dengan tuduhan pihak polis kononnya ahli dan penyokong PAS bertindak ganas setelah tidak dibenarkan berhimpun dalam majlis tersebut.

"Dewan Pemuda PAS Pusat meminta Ketua Polis Daerah Baling supaya buktikan mana dia cuka getah yang dibungkus dalam plastik dilemparkan kearah polis sehingga mengakibatkan gagal-gatal tangan, " tegasnya kesal.

Menurutnya lagi, setakat yang beliau ketahui, tidak ada cuka getah boleh dibungkus dalam plastik dan boleh mengakibatkan gagal-gatal tangan bila terkena bahan tersebut.

"Yang ada, kalau kena cuka getah, ia akan melecur serta merta," katanya.

Ini membuktikan tuduhan beliau tidak berasas dan boleh dipersoalkan kewibawaanya sebagai seorang Ketua Polis Daerah yang terlatih sehingga mengeluarkan kenyataan yang memalukan pihak polis sendiri, katanya.

Jika beliau masih berkeras, katanya, Dewan Pemuda Pusat mahu beliau mengulang tayang bagaimana kejadian itu berlaku sehingga tangannya gatal-gatal.

"Itulah kesannya, apabila hendak mainkan fakta sebenar sehingga orang ramai semakin tidak mempercayai pihak polis yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Jika beliau masih menuduh sila buat ulang tayang dan lihat apa jadi pada tangannya, " ujar beliau.

Kata Haji Mahfuz lagi, mustahil ahli atau penyokong PAS boleh bertindak membakar trak sedangkan beratus-ratus Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan Polis Gerak Am (PGA) berada di tengah-tengah kebun getah dengan kawalan yang cukup ketat.

Mereka tidak boleh tergesa-gesa menuduh PAS dalam soal ini sambung beliau, sebaliknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) atau badan-badan bebas lain untuk menyiasat.

"Buatlah siasatan macam kes mata lebam Dato' Seri Anwar di mana keputusan siasatan mendapati Ketua Polis Negara sendiri melakukanya.

"Suhakam ada hak dalam soal ini dan biarlah mereka menyiasat siapa yang membakarnya ataupun sememangnya polis menjadi alat untuk melancarkan provokasi untuk memburukkan pembangkang, " terang beliau lantang di hadapan 3,000 orang yang hadir dalam ceramah umum di Dewan Haji Zabidi Ali Kampung Pertama, Permatang Pauh.

Antara kepimpinan Pemuda Pusat yang hadir ialah Naib Ketuanya, Ustaz Idris Haji Ahmad, Setiausaha Pemuda, Misbahul Munir dan Exco Pemuda Pusat, Saudara Muhaimim Sulam.