Dakwaan bantu extremis Islam - Abdullah dicabar dedah nama

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - Pemuda keADILan, mencabar Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi supaya menamakan tokoh yang dimaksudkan dan serta pertubuhan Islam yang menerima bantuan kewangan USD 10 juta serta mendakwa tokoh berkenaan di mahkamah.

Timbalan Ketua Pemuda keADILan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pemuda keADILan menasihatkan Abdullah agar tidak mempolitikkan isu itu dan membuat rakyat tertanya-tanya.

Saifuddin menambah, Pemuda keADILan melihat kenyataan Abdullah sebagai satu kenyataan tanpa usul periksa dan tidak profesional yang hanya mendengar cerita Sheikh Muhammad Hisham Kabbani dan terus membuat kenyataan.

“Kita mempersoalkan apakah siasatan menyeluruh telah dibuat dan tidak ada menteri-menteri yang ada tidak pernah menyalurkan wang tidak kira atas nama apa sekalipun kepada mana-mana pertubuhan luar negara,” soalnya.

Beliau berkata, Abdullah harus sedar kenyataan beliau itu dengan sendirinya mengesahkan kepada negara luar bahawa Malaysia merupakan pengkalan pengganas.

“Setahu kita Sheikh Hisham Kabbani telah ditolak oleh pertubuhan Islam di Amerika dan kenapa dakwaannya dibuat ketika di Malaysia dan tidak didedahkan sejak awal lagi ketika berada di Amerika Syarikat,” soalnya.

Katanya, dengan dakwaan itu. Abdullah telah mengajar rakyat untuk percaya kepada fitnah dan membuat tuduhan tanpa bukti.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam kenyataannya di sini hari ini, turut meminta Abdullah menamakan bekas pemimpin yang didakwa memberikan sumbangan itu.