Tanah :Kerajaan Negeri Dapat Kerjasama Jurukur Swasta

 

Kuala Terengganu - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri telah mengadakan perbincangan dengan pihak swasta bagi menyegerakan proses kelulusan permohonan tanah di negeri itu.

Menurutnya, perkara itu masih dalam penyusunan pihak PTG negeri berikutan masalah kekurangan kakitangan bagi menjalankan kerja-kerja mengukur tanah di seluruh negeri untuk menyempurnakan permohonan yang begitu banyak dalam masa yang cepat.

Selain itu, katanya, langkah itu diambil berikutan peraturan-peraturan pentadbiran yang sedia ada yang tidak membolehkan pihak kerajaan negeri menyegerakan kelulusan permohonan tanah. "Oleh kerana itu pihak PTG telah mengadakan satu perbincangan dengan pihak swasta supaya mencari satu penyelesaian dengan memberi peluang kepada mereka (swasta) untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang sesuai," ujarnya. Tambahnya, di samping ianya dapat membuka peluang kepada pihak swasta berkaitan kerja-kerja pengukuran tanah, dalam masa yang sama dapat menyegerakan proses untuk pernyelesaian masalah tanah.

Beliau berkata, pihak kerajaan dan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) boleh mencadangkan kawasan-kawasan tanah kerajaan yang ada di tiap-tiap daerah untuk dijadikan tanah lot.

Manakala jurukur boleh membuat kerja "lay out" dan membahagikan kawasan itu menjadi lot-lot tanah, tambahnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri mahu seboleh-bolehnya perkara itu dapat diselesaikan dalam tahun ini juga.

"Insya Allah, kerjasama daripada pemohon dan JSR ini boleh kita dapat, dan memanglah rakyat yang mahukan tanah ini mereka bersedia untuk membantu bagi memudahkan proses ini," katanya.

Katanya, walaupun hingga hari ini sudah banyak permohonan tanah yang berjaya diselesaikan namun permohonan masih berlipat kali ganda daripada jumlah itu.

Ini, katanya kerana pada setiap kali mesyuarat Exco diadakan, hanya sekitar 40 permohonan tanah sahaja yang dapat diluluskan.